Persatuan Pengusaha Jentera Berat Rayu Struktur Semula Pinjaman
Kira-kira 1,000 ahli Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987), Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia (Baru) dan Persatuan Ampunya Jentera Pembinaan Berat Malaysia, merayu kepada syarikat pinjaman untuk memberi bantuan dalam bentuk penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Ketiga-tiga persatuan turut menyeru Kerajaan untuk segera campur tangan bagi membolehkan mereka keluar dari masalah tersebut.
Presiden Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987), Alec Chong berkata,pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar terhadap ekonomi dunia dan kesan dominonya Malaysia turut mengalami penyusutan khususnya di dalam bidang pembinaan.
“Walaupun dengan pembukaan semula sektor pembinaan, ekonomi negara masih perlahan. Tanpa dijangka akibat dari pandemik ini juga, harga bahan binaan naik mendadak ditambah pula dengan kekurangan pekerja dan pelbagai sekatan yang lain, ramai pemaju mengambil tindakan untuk mengurangkan penglibatan dalam projek-projek baharu.
“Akibatnya banyak syarikat di dalam sektor pembinaan mengalami kemerosotan ketara dalam perniagaan mereka dan ini turut menjadi salah satu cabaran yang dihadapi oleh kami, ahli dari ketiga-tiga persatuan,”katanya di dalam satu kenyataan bersama ketiga-tiga persatuan tersebut.
Alec berkata, masalah makin serius akibat kesukaran pihaknya untuk mendapatkan bayaran dari pelanggan ataupun pihak yang berhutang menyebabkan wujud tekanan yang tinggi dalam mengimbangi aliran tunai perniagaan.
Kesan dari itu katanya lagi, ada di antara ahli persatuan terpaksa mengambil tindakan menjual aset-aset supaya mampu bertahan dan lebih malang lagi ada juga ahli persatuan yang kini di ambang muflis.
Beliau memberitahu, akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa negeri juga, sektor pembinaan terpaksa ditutup dan sekaligus ia menjejaskan jumlah pendapatan ahli persatuan yang dalam masa yang sama harus menanggung gaji pekerja, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sewa premis.
“Hasil dari tinjauan yang telah kami jalankan baru-baru ini, kebanyakkan ahli kami telah lama bergantung dengan syarikat pinjaman dan kredit untuk kemudahan pinjaman sewa beli untuk pelaburan membeli jentera-jentera berat baharu,”katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia (Baru),Datuk Seri Mohd Effandie Ahmad berkata,
tanpa bantuan penstrukturan semula pinjaman dan pemberian moratorium selama enam ke 12 bulan ke atas, aliran tunai ramai ahli persatuan akan terkesan lebih teruk lagi.
Mohd.Effandie berkata, penstrukturan semula dalam tempoh yang panjang dilihat dapat membantu industri pembekalan jentera berat untuk bertahan di dalam tempoh Covid-19 yang masih belum dipastikan bila akan berakhir.
“Pihak kerajaan diharap dapat memainkan peranan dalam memastikan langkah-langkah yang dicadangkan ini dilaksanakan bagi mengelakkan penutupan syarikat dalam kalangan ahli-ahli kami dan semua pekerja juga dapat kekal bekerja seperti biasa selepas pandemik Covid 19 reda,”katanya.
Presiden Persatuan Ampunya Jentera Pembinaan Berat Malaysia,Liew Yu Chan pula berkata, walaupun ahli-ahlinya telah bertemu dengan syarikat pinjaman dan kredit untuk meminta penangguhan bayaran balik pinjaman, mereka telah dicaj dengan kadar faedah yang sangat tinggi dan tidak munasabah.
“Pandemik Covid-19 telah mengakibatkan 10 hingga 20 peratus syarikat kepunyaan ahli kami untuk gulung tikar.Kami berharap syarikat pinjaman dan kredit bukan sekadar memberi moratorium ke atas bayaran balik pinjaman tetapi juga menyemak semula kadar faedah yang dikenakan,”katanya.
Untuk rekod, Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987) pada 9 haribulan Julai telah menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meminta bantuan tetapi sehingga kini tiada sebarang jawapan diterima.
Namun dengan penyatuan suara lebih 1,000 ahli dan pemain industri dari ketiga-tiga persatuan, kesemua ahli berharap rintihan dan denyut nadi mereka dapat diberi perhatian dan didengari oleh pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan bagi bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Sumber artikel & foto: Bebas news