Sektor pembinaan dibenarkan beroperasi?
Kerajaan memutuskan untuk membenarkan sektor pembinaan beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang lalu, selepas mengambil kira tidak sampai 40 peratus bajet pembangunan yang diperuntukkan digunakan tahun ini berikutan sektor pembinaan tidak dapat beroperasi ketika ini.
Beliau berkata, ia turut membabitkan projek pembinaan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya yang sepatutnya dinikmati rakyat negara ini.
“Sektor kerajaan sebegini mesti dibenarkan untuk beroperasi dengan SOP ketat, vaksinasi kepada pekerja dan sebagainya.
“Sekarang ini sudah bulan tujuh (Julai), jangan sampai nanti dah bulan sembilan (September), lagi dua tiga bulan tak boleh buat kerja. (Peruntukan) kena dibawa ke tahun depan. Betul boleh dibawa ke tahun depan tapi kalau tak guna sekarang, peratusan yang dibawa ke tahun depan dengan bajet baharu tahun depan, jumlah yang tidak berbelanja cukup besar.
“Bukan saja projek kerajaan, swasta pun. Jika mereka boleh mematuhi, kita akan beri kelonggaran untuk mereka ini menjalankan aktiviti ekonomi,” katanya pada sidang media khas.
Sumber artikel: BH Online